Radio online Separap FM cipta sejarah


KAMPUNG PARIT SEPARAP - Berkonsepkan dan mempunyai tagline ‘Radio Komuniti Anda’, sekali lagi Separap FM mencipta sejarah tersendiri apabila seorang penyampainya, Mohtadin Arim bersiaran 24 jam tanpa henti, baru-baru ini.

Sebelum ini, Separap FM pernah mencipta sejarah apabila menjadi radio pertama berkonsepkan komuniti kampung selain ia juga ‘radio online’ pertama dalam kawasan Parlimen Parit Sulong.


Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, beliau berbangga dengan usaha yang dilakukan Ketua Kampung Parit Separap, Zainuddin Samad dan anak buahnya untuk mewujudkan radio berkenaan.

Menurutnya, walaupun hanya radio dalam talian, tetapi ia memberikan impak yang besar kepada kawasan Parlimen ini, khasnya kepada penduduk sekitar Kampung Parit Separap.

Menurutnya, dengan adanya kemudahan berkenaan, ia dapat menaikkan lagi nama kampung ini, selain penduduk sekitar dapat memanfaatkannya sebagai medium hebahan untuk sebarang program.

“Perkara yang paling dibanggakan, selain menjadi radio komuniti kampung pertama, ia juga mencipta rekodnya tersendiri, dengan salah seorang penyampainya bersiaran tanpa henti selama 24 jam.

“Perkara ini cukup membanggakan kerana terdapatnya bakat penyampai dalam kawasan Parit Sulong, yang berani menyahut cabaran berkenaan sehingga boleh didengari di seluruh dunia melalui jalur lebar,” katanya pada perasmian penutupan penyampaian siaran 24 tanpa henti radio berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin dan Ketua Kampung Kawasan Parit Separap, Zainuddin Samad.

Sementara itu, Mohtadin berkata, dia bersiaran selama 24 jam ini bertujuan menguji kemampuannya untuk dikongsikan dengan pendengar selain mahu mempromosikan Separap FM.

Menurutnya, setakat ini, Separap FM telah mencapai 18,000 pendengar setia ditubuhkan bertujuan untuk membantu memperkenalkan aktiviti pemimpin setempat selain menerapkan nilai komuniti setempat.

“Dengan adanya radio Internet ini, ia akan menggalakkan warga setempat terutamanya golongan muda untuk menggunakan teknologi maklumat (IT) berkenaan.

“Dengan membuat rekod tersendiri apabila bersiaran tanpa henti selama 24 jam ini, diharapkan pendengar radio Separap FM akan bertambah dari masa ke semasa,” katanya.

Manakala, Ariss berkata, bagi menaik taraf radio berkenaan pihaknya memperuntukkan sebanyak RM10,000 bagi pembinaan konti tetap dan sistem teknologi yang digunakan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Catat Ulasan